Sunday, April 29, 2012

UNSUR-UNSUR YANG MERROSAKKAN ILMU AGAMA

Lama juga tak menulis idea sendiri. Kali ini masih lagi mengambil bahan dari blog yang aku terbaca. Isinya menarik dan aku nak kongsi bersama2 mudha2an ia manjadi ilmu yang bermanfaat.
Kredit kepada:  http://www.hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah-5/tajuk%2016.htm


Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah
(Buku 5) 
Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah



Unsur-Unsur Yang Merosakkan Ilmu Agama


Sebahagian orang memiliki banyak ilmu agama, akan tetapi mereka tidak memelihara ilmu tersebut daripada unsur-unsur yang merosakkannya. Hasilnya, ilmu agama tersebut tidak meletakkan diri mereka kepada kedudukan yang sepatutnya, sebaliknya menjatuhkan diri mereka kepada kedudukan yang lebih rendah dan hina berbanding orang yang tiada ilmu agama. Oleh itu setiap Muslim yang berusaha untuk memahami agama perlu berwaspada dengan unsur-unsur yang boleh merosakkannya. Antara unsur-unsur tersebut adalah:



Unsur # 1: Ujub Dan Sombong.
Orang yang ujub merasa dirinya hebat dan dengan itu dia meremehkan pendapat yang berbeza dengannya. Sikap ujub akan melahirkan pula sikap sombong dan dengan itu dia enggan menerima teguran orang lain sekalipun ia benar. Kedua-dua sikap ini merupakan sikap tercela yang tidak disukai oleh Allah. Allah berfirman, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa hebat (ujub) dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”
[al-Taubah, ayat 25]

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”[al-Isra, ayat 37]

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.”[Luqman, ayat 18]


Justeru orang yang berusaha untuk memahami agama hendaklah menghiasi dirinya dengan sikap-sikap terpuji seperti rendah diri dan bersederhana. Sikap ini kemudiannya akan mengarah kepada sikap menghargai pendapat orang lain, terbuka menerima teguran dan tidak segan-segan membuat pembetulan jika benar tersilap.



Unsur # 2: Meninggalkan khazanah para ulama’.
Antara natijah daripada sikap ujub adalah meninggalkan khazanah para ulama’ kerana merasakan dirinya lebih hebat daripada para ulama’. Justeru orang yang memiliki sikap ujub menganggap dirinya mampu menafsir al-Qur’an tanpa perlu merujuk kepada kitab-kitab tafsir, mampu memahami hadis-hadis Rasulullah tanpa perlu merujuk kepada kitab-kitab syarah dan mampu membuat hukum tanpa perlu merujuk kepada kitab-kitab fiqh.

Semua ini adalah sikap yang akan menyebabkan seseorang itu melakukan banyak kesilapan dalam usahanya untuk memahami agama Islam. Maka tidak boleh meninggalkan khazanah para ulama’ dalam usaha memahami agama Islam. Khazanah tersebut adalah jambatan yang menghubungkan seseorang kepada firman Allah dan sabda Rasulullah. Tanpa jambatan tersebut, seseorang itu akan tenggelam dalam lautan yang amat dalam.



Unsur # 3: Bersikap keras terhadap orang lain.
Termasuk natijah daripada sikap ujub ialah bersikap keras dalam berdakwah. Ini kerana rasa hebat yang tersemat dalam diri menyebabkan seseorang itu memandang rendah kepada orang lain, lalu mudah dan cepat untuk menghukumnya sebagai salah, sesat dan sebagainya. Ini adalah sikap yang perlu diperbetulkan.

Sebelum ini ketika mengupas tentang adab-adab menuntut ilmu, diterangkan bahawa antara tujuan menuntut ilmu ialah agar dapat memperbaiki diri dalam mengamalkan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alahi wasallam. Sunnah Rasulullah tidak terhad kepada solat dan puasa sahaja, tetapi mencakupi juga manhaj berdakwah. Maka manhaj atau sunnah baginda dalam berdakwah adalah bersikap lemah lembut, memaafkan, memohon ampun, saling berbincang dan akhirnya bertawakal kepada Allah. Manhaj atau sunnah ini adalah penting kerana jika dilakukan yang sebaliknya, orang yang cuba disampaikan dakwah akan menjauhkan diri. Ini akan menggagalkan usaha dakwah tersebut.

Manhaj atau sunnah ini diterangkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Maka dengan sebab rahmat dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.
Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
[Ali Imran, ayat 159]


Selain itu ingin dijelaskan bahawa apabila seseorang itu menghukum orang lain sebagai salah, maka tidak dapat tidak ia terbuka kepada empat kemungkinan:
  1. Orang tersebut memang salah.
  2. Berlaku salah faham (miscommunication & misunderstanding) sehingga apa yang benar dianggap salah.
  3. Ilmu orang yang menghukum lebih rendah daripada ilmu orang yang dihukum. Perbezaan tahap ilmu ini menyebabkan apa yang benar dianggap salah kerana orang yang menghukum itu tidak mampu mencerna apa yang disampaikan oleh orang yang dihukum.
  4. Wujud kedengkian sehingga sengaja menghukum salah sekalipun dalam hati diakui kebenarannya.
Oleh itu sebelum seseorang itu menghukum orang lain sebagai salah, hendaklah dia terlebih dahulu mempertimbangkan empat kemungkinan di atas. Kemungkinan keempat tidak sepatutnya berlaku manakala kemungkinan pertama mungkin berlaku. Namun yang lebih lazim berlaku adalah kemungkinan yang kedua dan ketiga.



Unsur # 4: Dengki.
Ini adalah virus yang tidak terlepas daripada menjangkiti hati orang-orang yang memiliki banyak ilmu agama. Bahkan ia adalah penyebab utama umat para rasul, termasuk umat Muhammad, berpecah belah dan berselisihan. Allah menerangkan hakikat ini, bermaksud:

“Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (tentang agama mereka); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana dengki sesama sendiri.” [al-Syura, ayat 14]


Virus kedengkian inilah yang menyebabkan umat Islam berpecah belah dengan setiap pecahan menganggap kumpulan merekalah yang terbaik. Firman Allah:

“Dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik, iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu).”
[Maksud surah al-Rum, ayat 31-32]


Virus kedengkian ini jika tidak dihindari akan menyebabkan seseorang itu menerima azab yang besar pada Hari Akhirat nanti. Firman Allah:

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, Dan mereka yang bersikap demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.” [Maksud surah Ali Imran, ayat 105]


Oleh itu orang yang berusaha memahami agama hendaklah sejak awal berwaspada terhadap virus ini daripada menjangkiti hati mereka. Hendaklah direnungi semula hadis-hadis yang dikemukakan tentang keikhlasan menuntut ilmu sebagaimana yang dikemukakan ketika mengupas adab-adab menuntut ilmu.



Unsur # 5: Kebencian dan bersikap tidak adil.
Antara penyakit yang disebabkan oleh virus kedengkian ialah kebencian dan ini seterusnya menyebabkan seseorang itu bertindak tidak adil kepada orang yang berbeza pandangan terhadapnya. Ini adalah fenomena yang lazim berlaku masa kini dimana orang, kumpulan atau aliran dikritik tanpa terlebih dahulu melakukan penilaian yang adil berdasarkan fakta-fakta yang sahih lagi menyeluruh. Lebih dari itu, kesilapan yang segelintir dijadikan sumber kritikan manakala kebaikan yang banyak diabaikan, seolah-olah ia tidak wujud.

Faktor kebencian dan keadilan disentuh oleh Allah dalam ayat berikut yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” [al-Maidah, ayat 8]


Oleh itu sesiapa yang berusaha untuk memahami agama Islam hendaklah menahan diri daripada memberi apa-apa komentar terhadap mana-mana individu, kumpulan atau aliran sehingga dia sendiri telah mengkaji secara adil lagi menyeluruh berkenaan apa yang hendak dikomentarkan.



Unsur # 6: Gemar menggelar orang lain dengan gelaran negatif.
Antara natijah daripada sikap ujub, sombong dan dengki adalah gemar menggelar orang-orang yang tidak sehaluan dengannya dengan gelaran yang bersifat negatif, umpama: “Itu orang Tabligh yang jumud”, “Ini orang Wahabi yang sesat”, “Mereka orang Tariqat yang menyeleweng” dan pelbagai lagi dengan tujuan mencela dan merendah-rendahkan mereka. Hayatilah firman Allah berikut ini yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kumpulan (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan lelaki yang lain, (kerana) mungkin kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu kumpulan dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan perempuan yang lain, (kerana) mungkin kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;

Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” [Maksud surah al-Hujerat, ayat 11]


Tindakan Allah mengakhiri ayat di atas dengan anjuran bertaubat menunjukkan bahawa menggelar sesama Muslim dengan gelaran yang negatif adalah satu dosa besar. Oleh itu dalam rangka memahami agama Islam, seseorang itu perlu menahan dirinya daripada menggelar orang lain dengan gelaran-gelaran negatif. Sebaliknya jika dia mengetahui secara pasti sesuatu yang tidak betul pada orang tersebut, hendaklah dia berusaha untuk menasihatinya dengan hikmah. Jika kesalahan tersebut telah merebak ke dalam masyarakat, hendaklah dia menerangkan kepada masyarakat apa yang benar tanpa mencela dan merendah-rendahkan orang yang melakukan kesalahan tersebut.

Pengecualian adalah kepada individu yang benar-benar bertindak zalim secara sengaja sama ada terhadap agama atau orang lain. Maka dibolehkan menyebut namanya agar orang ramai dapat berhati-hati daripada kezalimannya. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [al-Nisa, ayat 148]



Unsur # 7: Suka berdebat.
Sebahagian orang yang memiliki ilmu menganggap agama adalah pentas Akedemi Fantasia bagi mengukur siapa yang paling gagah dalam berhujah tanpa mengira sama ada hujah tersebut benar atau tidak. Berdebat lazimnya memiliki kemudaratan yang besar berbanding manfaat. Oleh kerana itulah Rasulullah menegaskan, maksudnya:

“Saya menjamin satu rumah di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan sekalipun dia benar, satu rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan penipuan sekalipun bergurau dan satu rumah di tempat tertinggi dalam syurga bagi orang yang baik akhlaknya.” [Riwayat Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud (Maktabah al-Ma’arif, Riyadh 2000), hadis no: 4800]


Justeru orang yang berusaha untuk memahami agama hendaklah cuba sedaya upaya menjauhi perdebatan kerana ia hanya akan menyebabkan pertelingkahan, permusuhan sesama umat Islam serta pembelaan terhadap maruah diri dan bukannya kebenaran. Sebaliknya hendaklah dia cuba melalui proses dialog kerana ia lebih harmonis kepada semua pihak lagi menjanjikan hasil yang lebih bermanfaat, insya-Allah. Perdebatan hanya dibolehkan jika dapat dipastikan secara yakin bahawa manfaatnya adalah jauh lebih besar daripada mudaratnya.



Unsur # 8: Tidak menguasai perbezaan pendapat dan adab berbeza pendapat.
Perbezaan pendapat adalah sesuatu yang lumrah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia.” [Hud, ayat 118-119]

Oleh itu perbezaan pendapat tidak boleh disifarkan, ia hanya boleh diurusi. Maka orang yang tidak menguasai pendapat yang berbeza-beza dan adab-adab untuk berbeza pendapat, terserlah pada dirinya sikap fanatik dan pelbagai lain yang negatif. Manakala orang yang menguasainya, terserlah pada dirinya sikap matang lagi positif.

Maka orang yang berusaha untuk memahami agama hendaklah juga menguasai perbezaan pendapat dan adab untuk berbeza pendapat. Adab-adab untuk berbeza pendapat adalah sebuah bab tersendiri yang tidak dapat saya kupas dalam tulisan ini. Alhamdulillah, para pembaca dijemput mengkaji buku saya Mencari Rahmat Allah Di Sebalik Perbezaan Pendapat terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2006.



Unsur # 9: Tidak takut kepada Allah.
Orang yang benar-benar berilmu adalah orang yang takut kepada Allah, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (terhadap) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.” [Fatir, ayat 28]

Sayang sekali di kalangan sebahagian orang yang “dianggap” berilmu, mereka tidak takut kepada Allah. Mereka menyampaikan hadis-hadis tanpa memerhatikan sumber dan darjatnya dan menyampaikan pendapat tanpa meneliti kekuatannya. Malah ada yang sanggup melakukan pendustaan dalam agama lalu dijustifikasikannya atas slogan Mazhab al-Syafi’e atau Ahli Sunnah wal Jamaah.

Oleh itu orang yang berusaha untuk memahami agama Islam perlu menanam dalam dirinya rasa takut kepada Allah. Malah perasaan takut tersebut adalah ukuran bahawa dia faham agama lagi berilmu.


Adapun dalam konteks penyampaikan ilmu, maka orang-orang terbahagi kepada tiga golongan:

Pertama adalah orang yang memiliki banyak ilmu tetapi enggan menyampaikannya. Alasan yang lazim adalah dia merasakan ilmunya belum cukup. Ini adalah sikap yang tidak betul kerana ilmu tidak pernah akan cukup kerana ia sendiri tidak memiliki titik noktah. Jika seseorang itu berpandangan dia mampu mencapai “ilmu yang cukup” bagi dirinya, maka dia telah jauh tersasar.

Selain itu, orang berilmu yang enggan menyampaikan ilmu pernah disebut oleh Rasulullah sebagai:

“Perumpamaan orang yang mempelajari ilmu kemudian tidak menceritakannya seperti orang yang menyimpan harta lalu tidak menginfakkannya.”

[Maksud hadis riwayat al-Thabarani dan sanadnya dinilai hasan oleh Muhyi al-Din Dibb Mastu dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas al-Targhib wa al-Tarhib li al-Munziri (Dar Ibn Katsir, Damsyik, 1999)hadis no: 204].

Demikian juga dalam sebuah hadis yang lain baginda bersabda, maksudnya:

“Barangsiapa yang ditanya berkenaan suatu ilmu lalu dia menyembunyikannya, pasti dia akan diikat pada Hari Kiamat dengan tali dari neraka.”

[Riwayat al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi (Maktabah al-Ma’arif, Riyadh 2000)hadis no: 2649].


Kedua adalah orang yang tidak berilmu tetapi dia menyampaikannya. Ini juga adalah sikap yang tidak betul. Setuju, bahawa menyampaikan ilmu adalah usaha yang amat baik. Allah menegaskan hal ini:

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang shalih, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” [Maksud surah al-Fussilat, ayat 33]


Walaubagaimanapun perlu diinsafi bahawa usaha penyampaian tersebut hendaklah berdasarkan ilmu, iaitu berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Ini kerana Islam adalah agama yang berteraskan dalil dan hujah yang difahami berdasarkan metodologi ilmiah. Ia bukanlah agama cerita yang dibuat-buat atau hikayat turun temurun. Allah berfirman, maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia kepada agama Allahberdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata.”
[Yusuf, ayat 108]


Orang yang menyampaikan ilmu perlu sedar bahawa dia memainkan peranan sebagai duta yang mewakili Allah dan Rasulullah. Apabila dia menyampaikan sesuatu yang tidak berasal, atau tidak dapat dipastikan berasal daripada Allah dan Rasulullah, bererti dia berdusta di atas nama Allah dan Rasulullah. Ini adalah kesalahan yang besar. Firman Allah:

“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah.”
[Maksud surah al-Ankabut, ayat 68]


Sabda Rasulullah:

“Jangan berdusta atas (nama)ku kerana sesungguhnya sesiapa yang berdusta atas (nama)ku, maka dia akan memasuki neraka.”

[Maksud hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan, (Dar al-Salam, Riyadh, 1995), hadis no: 1]


Ketiga adalah orang yang memiliki sebahagian ilmu dan dia menjadikan penyampaian ilmu sebagai saranan untuk menambah ilmu. Penambahan berlaku kerana sebelum menulis, dia akan mengkaji subjek yang bakal ditulis sedaya mampu dan ini akan menambah ilmunya. Demikian juga sebelum memberi kuliah, dia akan membuat kajian dalam judul yang bakal dia sampaikan sedaya mampu dan ini akan menambah ilmunya.

Dalam susun kata yang lain, dia menyampaikan ilmu bukan kerana merasakan dirinya layak (tidak ujub) tetapi semata-mata sebagai sarana untuk menambahkan lagi ilmunya. Atas sikap ini, dia tidak akan menyampaikan ilmu dalam subjek yang tidak dikuasainya dan dia juga tidak akan menjawab sesuatu soalan yang tidak diketahui, melainkan menangguhkannya.

Sikap golongan yang ketiga adalah sikap yang betul. Memiliki ilmu sebelum menyampaikannya adalah sikap yang benar, akan tetapi ia tidaklah bererti setiap orang perlu mencapai taraf mujtahid sebelum menjadi penyampai ilmu. Memadai dia menguasai ilmu dalam ruang lingkup yang bakal disampaikannya. Orang yang ingin berdakwah kepada bukan Islam perlu menguasai adab-adab dakwah dan penjelasan bagi salah faham yang biasa dihadapi oleh bukan Islam terhadap agama Islam. Orang yang ingin menyampaikan kuliah tafsir perlu menguasai ilmu usul tafsir dan mengkaji kitab-kitab tafsir sebelum menyampaikannya. Orang yang ingin menulis buku fiqh perlu mengkaji pendapat-pendapat dari mazhab yang empat serta dalil-dalil meraka dalam subjek fiqh tersebut sebelum menulisnya.


Demikian sembilan unsur yang saya nasihatkan diri saya dan para pembaca sekalian agar berwaspada dalam rangka berusaha untuk memahami agama Islam.


Saturday, April 21, 2012

FORMULA KHUSYUK DALAM SOLAT

Ramai kita merasakan yang kita ni telah mengerjakan solat tapi kenapa perangai tak elok juga. Kita juga kadang2 tertanya kenapa ada orang yang solat tapi tidak menunjukkan akhlak yang baik samada dengan manusia mahupun Allah s.w.t. Mungkinkah kerana solat kita sekadar kulit dan rutin harian saja? Ustaz kata tak ada roh. Macamana kita nak dapatkan solat yang boleh menjadikan kita sebagai manusia yang baik disisi Allah. Bagaimana kita nak jadikan solat itu dapat mencegah kita melakukan perkara mungkar, sesuai dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w.?

Ayuh kita sama2 memperelokkan solat kita mudah2an solat kita ada roh dan kita dapat merasakan nikmat dan manisnya solat. Mari sama2 kita usaha untuk khusyuk dalam solat.

1. al-tafahum
( memahamkan semua bacaan di dalam solat dan menghayati maknanya )

2. al-takzim
( merasakan kebesaran Allah seolah-olah anda berada di hadapan-Nya )

3. al-haybah
( menghadirkan rasa gerun terhadap kekuasaan Allah, dengan demikian rasa hebat terhadap Allah akan dapat dihasilkan )

4. al-rajak
( mengharapkan rahmat Allah dengan sepenuh harapan bahawa ibadat akan diterima )

5. al-haya'
( berasa malu kpd Allah kerana kecuaian dalam mengotakan janji kita terhadap-Nya dan kekurangan kita dalam melakukan ibadat terhadap-Nya )


sumber : Formula solat sempurna, Ust Zaharudin Abd Rahman

Wednesday, April 18, 2012

TIPS BERSANGKA BAIK

Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu :
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".

Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku"..

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya.
Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.

Rasulullah bersabda : "Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta" (HR. Muttafaqun alaihi.)

(kREDIT KEPADA ANONYNMOUS walau siapapun anda)