Selalu kita ucap "syukur, Alhamdulilah" bila kita mendapat nikmat. Tapi kadang-kadang aku tertanya-tanya juga, apakah tanda dan erti syukur yang sebenar? Kalau kita menang loteri atau menang pertandingan ratu cantik atau menang peertandingan merempit motor macam Mat2 rempit tu dan kita ucap syukur,adakah ini menepati erti syukur? Rasa-rasa kalau begini keadaannya ianya syukur yang tak bertempat.
Untuk menjadi hamba yang bersyukur, Allah s.w.t. mengajar kita dengan FirmanNya ”Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai, berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Surah Al Ahqaf:15)
Kalau kita tafsirkan, Allah meminta kita bersyukur atas perkara-perkara yang diredhaiNya. So kalau melakukan yang bertentangan dengan syariatNya tentulah itu tanda orang yang kufur. Kalau kita mensyukuri nikmat Allah maknanya kita melaksanakan apa yang Allah suruh dan meninggalkan larangannya dalam setiap aspek kehidupan tanpa kecuali atau dalih. Kalau didalam Al Quran telah menberi kita panduan untuk menjalani kehidupan seharian kenapa kita ingkar? Allah memberi panduan lengkap untuk kita baik dari segi ibadah,muamalat,berhukum dan sebagainya, kenapa kita masih memilih-milih mana yang sesuai dengan nafsu kita saja. Wajarkah kita mengatakan kita adalah orang yang bersyukur??? Bimbang sekali aku, kalau-kalau Allah menemplak kita dan mengatakan kita sebenarnya tidak bersyukur kepadaNya, atau syukur kita hanya dimulut saja bukan melalui tindakan. Bukankah kita akan menjadi orang yang rugi nanti? Nauzubillah.
Wahai diri,jika engkau bersyukur dengan nikmat kesihatan, gunakkanlah untuk melakasnakan perintahNya. Jika engkau diberi ilmu dan engkau bersyukur ajarkan dan sebar luaskan ilmu yang bermanfaat tersebut.Jika engkau diberi kekayaan, gunakan dan infaqkannya ke jalan Allah.
Dalam Al Quran Allah s.w.t. banyak memberikan pelajaran dan pengajaran tentang orang-orang yang diazab kerana tidak mensyukuri nikmat-nikmatNya. Di antaranya , Firaun ditenggelamkan bersama bala tenteranya kerana kufur terhadap nikmat kekuasaan. Qarun ditenggelamkan ke dalam perut bumi bersama harta bendanya kerana kufur terhadap nikmat harta. Allah juga menyiksa Hamman kerana kufur nikmat kecerdikan yang Allah berikan terhadapnya.
Berdasarkan peristiwa-peristiwa yang telah dirakamkan di dalam Al Quran, ianya membuktikan bahawa nikmat Allah yang tidak disyukuri segalanya akan dimusnahkan mengikut kadar kekufurannya atas nikmat-nikmat yang telah dikurniakan. Punca lahirnya rasa bersyukur ialah apabila seseorang hamba itu ikhlas dalam melaksanakan pekerjaannya, bersungguh-sungguh dan menyandarkan seluruh kehidupannya serta pergantungannya hanya kepada ALLAH SWT. Merasa diri sebagai seorang hamba kepada Allah s.w.t , dan segala yang dimiliki adalah pinjaman daripadaNya. Sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada, sama ada zahir mahupun batin, serta redha dengan segala ketentuanNya. Manusia perlu bersyukur kerana Allah s.w.t. telah menjadikan manusia dengan sesempurna kejadian, dan pujian yang selayaknya hanya kepada Allah s.w.t. di atas kurniaanNya yang tidak terhitung. Manusia yang bersyukur adalah antara hamba yang pertama dimasukkan ke dalam syurga, ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW :
“Orang yang pertama diseru ke Syurga pada hari kiamat ialah orang-orang yang memuji Allah dalam keadaan suka dan duka. “
Jika manusia tidak bersyukur dia terdorong dan berani melakukan kejahatan, kezaliman terhadap diri sendiri dan sekelilingnya. Apabila manusia melakukan maksiat maka terputuslah dia daripada mendapat Rahmat Allah s.w.t.
Aku simpulkan disini jika kita mensyukuri nikmat Allah s.w.t. bermakna kita menggunakan segala nikmat Allah untuk perkara yang diredhaiNya, iaitu melakukan amal agar memperolehi kebahagiaan hidup di dunia yang fana dan akhirat yang kekal abadi.
Wallahu'alam.
terima kasih atas perkongsian erti syukur yang sebenar.
ReplyDelete