Sunday, April 3, 2011

HAJI IBARAT BAYANGAN MENUJU KEMATIAN

Sekarang ni kenkawan yang nak gi haji,rajin berkursus setiap sabtu di Masjid.Baguih na...

Nak gi haji kita buat persiapan, terfikirkah kita untuk membuat persiapan untuk perperiksaan di Mahsyar nanti?(yang sepatutnya terlebih2 kita buat). Islam sebenarnya dah mengajar kita untuk tunduk patuh kepada Allah SWT sebagai latihan untuk menempuhi kehidupan akhirat khususnya melalui ibadah seperti solat dan haji.

Solat misalnya, diperintahkan untuk terus dilaksanakan apabila kedengaran panggilan azan. Segala kerja yang kita tengah buat kena ditinggalkan segera dan kita bergerak serentak ke masjid.(keutamaan kepada kaum adam)

Ini betul-betul macam bayangan akhirat yang diceritakan oleh Allah SWT yang bermaksud:
Dan ditiuplah sangkalala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka.(Surah Yasin, ayat 51)

Maha Suci Allah SWT telah merakamkan bayangan ini di dalam al-Quran yang diterjemahkan di dalam ibadat solat. Sebenarnya Allah telah melatih kita untuk berdepan dengan saat yang namanya akhirat. Diperintahkan bersegera untuk bersolat di masjid sekalipun berdepan dengan kesibukan kerja dan urusan yang penting, memang macam saat manusia berduyun-duyun ke padang mahsyar menyerahkan diri di hadapan Allah SWT untuk dihisab segala amalan.

Hajipun camtu la juga..., kita diminta tinggalkan segala apa yang dimiliki, keluarga, tanah air, harta benda, saudara mara dan sebagainya hanya semata-mata untuk menyahut panggilan Allah SWT di Tanah Haram. Ini ditambah pula dengan perintah supaya memakai pakaian yang berwarna putih, memang terasa macam saat hari kematian, iaitu saat manusia meninggalkan dunia untuk bertemu Allah SWT.

Manusia kena patuh, dan tidak ada pilihan lain kecuali terus patuh. Di dalam ibadah haji misalnya, tidak boleh dipersoalkan kewajaran ibadah seperti tawaf, sa’ie, wukuf, melontar di jamrah dan sebagainya. Tidak ada penjelasan dan rasional untuk difikirkan oleh manusia kecuali hanyalah semata-mata ia merupakan perintah Allah SWT.

Di dalam ibadah solat, kita diminta untuk menyucikan diri terlebih dahulu untuk bertemu dengan Allah SWT. Zahir perlu disucikan daripada najis, manakala batin pula disucikan daripada hadas samada besar atau kecil serta syirik dan juga penyakit hati yang lain. Suci ini tidak disyaratkan di dalam ibadah yang lain seperti zakat dan puasa.

Untuk gi haji ni, jemaah kena berangkat dengan harta yang bersih dan hati yang bersih. Diperintahkan bertaubat kepada Allah SWT dan bermaaf-maafan dengan semua pihak agar hati yang pergi mengadap Allah SWT ialah hati yang bersih daripada perasaan yang tak baik terhadap orang lain. Diperintahkan untuk menziarahi saudara mara sebelum bertolak ke Tanah Haram supaya silaturahim tak putus dan segar dengan doa yang mengiringi pemergian.

Demikianlah perjalanan menuju kematian, jika solat dan haji disyaratkan agar suci terlebih dahulu, maka kematian dan perjalanan ke akhirat lebih-lebih lagi diperintahkan agar bersuci terlebih dahulu. Alangkah mulianya sebuah kematian jika kita bersih dari dosa dengan Allah SWT serta dosa dengan manusia. Sungguh bertuah kita jika yang mengiringi diri kita ke tempat persemadian, sementara menunggu untuk dibangkitkan di akhirat ialah doa daripada anak-anak yang soleh dan saudara-mara jauh dan dekat.

Sebab tu la, solat dan haji dikatakan latihan untuk menempuhi kematian.
That's why, dalam solat dan haji, kita diajar untuk sentiasa bertasbih, bertahmid dan bertakbir memuji Allah SWT. Kesemua bacaan yang diperintahkan ini ialah satu suntikan antibiotik terhadap jiwa kita bagi menangkis gangguan virus yang bernama syaitan.

No comments:

Post a Comment